Friday, 11 May 2012

Rezeki Itu Hak Allah .

Sebuah basikal tua,
Dinaiki seorang lelaki berusia,
Dengan senyuman terukir di bibirnya,
Membuatkan diri ini memikirkan betapa mulianya dia...
Dalam zaman serba moden ini masih adakah insan yang menggunakan basikal bagi mencari sesuap nasi? Susah nak percaya kan. Tapi percayalah masih ada insan yang menggunakan basikal tua untuk mencari rezeki yang halal.
Pernah suatu ketika semasa saya menunggu bas untuk pulang ke kampus, saya ternampak seorang lelaki berseluar pendek, memakai t-shirt dan bertopi (mungkin mahu melindungi wajah dari terik matahari), memberhentikan basikal tuanya berhampiran dengan perhentian bas. Saya kira dia berbangsa India dari segi pakaian dan warna kulitnya. Di bahagian belakang basikalnya kelihatan terselit kotak-kotak kosong yang sudah dilipat-lipat bagi menjimatkan ruang. Beliau kelihatan tersenyum dengan pekerjaannya itu. Membelek dari satu tong sampah ke satu tong sampah yang lain. Mungkin pada pandangan orang lain kotor tapi itulah pekerjaan yang halal dan tidak meminta-minta pada orang lain. InsyaAllah, Allah memberikan rezeki yang halal kepada mereka yang rajin berusaha. Tapi ingat, matlamat tidak menghalalkan cara.

" Sesungguhnya Allah tidak mengubah apa yang ada pada sesuatu kaum sehingga mereka mengubah apa yang ada pada diri mereka sendiri. Dan apabila Allah menghendaki untuk menimpakan kepada sesuatu kaum bala bencana (disebabkan kesalahan mereka sendiri), maka tiada sesiapapun yang dapat menolak atau menahan apa yang ditetapkanNya itu, dan tidak ada sesiapapun yang dapat menolong dan melindungi mereka selain daripadaNya ".

( Surah ar-Rad : 11 )

Saya juga pernah melihat seorang makcik yang berbangsa cina semasa zaman persekolahan dahulu. Bertahun-tahun dia mengayuh basikal mininya mencari tin-tin kosong dan kotak-kotak yang tidak digunakan lagi. Selama beberapa tahun saya perasan dan memerhatikan makcik ini yang setia dengan pekerjaannya dengan skirt dan t-shirt lusuhnya. Malahan semasa saya pulang ke kampung baru-baru ini juga saya seakan masih ternampak makcik cina tersebut atau mungkin juga saya silap orang. Setiap hari basikalnya penuh dengan muatan, tak pasti pulak dari mana dia mencari semua bahan terbuang tu. Tapi semangat kentalnya yang tak pernah mengena erti penat membuatkan saya kagum.

Jangan kita ingat bila kita dah tak perlukan sesuatu tu, orang lain juga turut tidak memerlukannya? Jangan berfikiran cetek kerana barangkali kamu tidak suka tapi orang lain suka kerana kejadian Allah ni unik. Teringat pulak kisah dengan adik sewaktu nak beli kain baju kurung. Orang cakap kain A cantik, dia cakap tak cantik. Yang orang tengok tak cantik tulah dia kata cantik. Padahal kami sekeluarga tak berkenan dengan pilihan dia tu. Tapi mata dia kata cantik nak buat macam mana kan. Lagipun dia yang nak pakai. Jadi biarlah dia dengan pilihan hatinya. Tiada manusia yang sama antara satu sama lain. Sedangkan cap jari tidak ada yang pernah sama. Itulah ciptaan yang Maha Agung. Belum bersyukurkah kita???

Saya juga pernah beberapa kali semasa makan, ada dua orang (kadang-kadang lelaki berpasangan dan kadang-kala perempuan berpasangan, yang seorang normal dan sorang lagi tidak boleh melihat dalam erti kata lain buta) bergerak dari satu meja ke meja lain untuk menjual tisu. Kiranya membeli sambil bersedekahlah kan. Kadang-kadang bila ada pelanggan yang menolak, mereka tidak pernah berputus asa untuk bergerak ke meja lain dan tidak ada istilah malu dalam diri mereka. Kadang-kadang saya beli juga walaupun saya jarang guna tisu sebenarnya, sebab saya lebih selesa guna sapu tangan Tisu tu buat spare je, selalu saja ada member tanya "ada tisu tak". Kalau pada masa tu saya ada tisu maknanya saya tidaklah menghampakan orang yang meminta. Betul tak?!

Kadang-kadang kita dengan mudah menghukum golongan sedemikian. Dikatakan menumpang kesenangan orang lain dengan hanya tahu meminta-minta. Tapi kita kena ingat kerana rezeki kurnian Allah itu bukan hak mutlak kita. Ia perlu dikongsi kerana dalam rezeki kita ada nisbah orang lain.

REZEKI adalah sesuatu yang telah dijamin oleh Allah kepada seorang hambanya. Rezeki yang kita dapat tu bukan hak mutlak kita seorang, ada hak orang lain di dalamnya. Allah telah menampakkan anugerah kepada hambaNYA dengan menempatkan harta berfungsi sebagai IBADAH. Sebab tu ZAKAT wajib dibayar. Supaya rezeki yang diberikan berfaedah bagi si pemilik dan bermanfaat pula bagi sesama hamba Allah. Dan sekiranya harta itu tidak memberikan manfaat bagi agama, sesama hamba, dalam hubungannya dengan keagungan nama ALLAH swt maka ALLAH berhak menarik semula rezeki itu kerana ALLAH swt adalah pemilik yang sah bagi semua harta yang ada di dunia mahupun akhirat.

Sebab tu dalam Islam digalakkan bersedekah. Jangan pentingkan diri sehingga kita terlupa, nyawa kita juga hanya pinjaman oleh Yang Maha Esa. Entah esok lusa, jika DIA mahu mengambil balik apa yang dipinjamkan kepada kita, siapa kita untuk menafikan yang bukan hak kita. Cuba letakkan diri kita pada tempat mereka? Cuba selami hati dan perasaan mereka? Bukan mereka mahu jadi begitu, barangkali keadaan memaksa walaupun mungkin ada alternatif lain yang boleh difikirkan oleh kita tapi tidak oleh mereka.

Kita semakin matang setiap hari kerana usia semakin meningkat, jadi belajarlah untuk menerima pendapat dan keinginan orang lain. Biarkan mereka melakukan sesuatu yang mereka suka walaupun kita kurang selesa dengan hal tersebut selagi ia tidak melanggar batasan syarak. Jika sudah melanggar batasan syarak maka wajiblah kita untuk menegur. Bukan niat hanya menegur dirinya tapi niat menegur diri kita sendiri supaya kita sentiasa ditingkatkan iman dan taqwa.

- Artikel iluvislam.com

No comments:

Post a Comment